Sejarah Sekolah



SEJARAH SEKOLAH KEBANGSAAN PADANG MATSIRAT

Sejarah awalnya penubuhan sekolah Kebangsaan Padang Matsirat bermula di sebuah kampung iaitu Kampung Raja, Padang Matsirat. Perintisnya seorang penghulu yang bernama Che Said. Sekolah ini didirikan atas semangat gotong royong tanpa menggunakan sebarang perbelanjaan. Atapnya diperbuat daripada daun nipah. Tiangnya berkayu bulat manakala dindingnya pula buluh yang beranyam. Semua bahan-bahan ini diperolehi dipersekitaran Padang Matsirat. Pada tahun 1930, sekolah ini telah ditubuhkan. Guru Besarnya yang pertama ialah Che Chat ( Encik Arshad ). Bilangan kelas pada masa itu ialah tiga kelas dari darjah satu hingga tiga.

Pekan Padang Matsirat atau lebih dikenali dengan panggilan “Mengkalan” diambil sempena nama sebenarnya Pengkalan iaitu satu tempat persinggahan di sebatang sungai yang terletak di Kampung Raja. Sungai ini berfungsi sebagai laluan tongkang dan perahu berlabuh.

Pada tahun 1944, selepas tentera Jepun menyerang Tanah Melayu, sekolah ini telah dipindahkan ke tempat yang ada sekarang. Ianya mengandungi tiga buah bangunan sahaja. Bangunan-bangunan itu diperbuat daripada bahan tempatan. Atapnya daripada nipah. Dinding pula diperbuat daripada buluh dan lantainya tidak bersimen. Bilangan murid-murid pada masa itu lebih kurang 150 orang manakala guru-gurunya pula seramai lima orang sahaja. Kebanyakan murid-murid datang dari kawasan Kuala Teriang, Nyiur Chabang, Bukit Kemboja, Kuala Muda dan sekitar Padang Matsirat. Sekitar tahun 1948, sekolah ini berwajah baru. Bangunannya telah bersimen dan beratap genting. Bangunan ini hanya mengandungi empat bilik darjah iaitu dari darjah satu hingga darjah tiga sahaja. Guru Besarnya ialah Cikgu Musa. 


Bangunan terawal

Bangunan ini diberi nama Bangunan Seri Pandan.
Pada tahun 1949, atas daya usaha penduduk-penduduk kampung, sebuah bangunan tambahan telah didirikan. Bangunan ini letaknya disebelah timur iaitu di kawasan sekarang. Bangunan tersebut menempatkan murid-murid Darjah Lima hingga Enam. Guru Besarnya pada masa itu ialah Cikgu Ishak dan Cikgu Ibrahim. Murid-murid dari Sekolah Kebangsaan Ulu Melaka, Sekolah Kebangsaan Kuah dan Sekolah Kebangsaan Ayer Hangat yang akan belajar dalam Darjah Lima telah ditempatkan di sekolah ini. Hanya murid-murid yang cemerlang sahaja dipilih untuk meneruskan pelajaran ke Darjah Enam di sini.

Pada tahun 1970, bangunan dua tingkat didirikan. Bangunan ini dinamakan Bangunan Seri Dayang. Guru Besarnya pada ketika itu ialah Cikgu Ramli b. Salim.